Friday, 17 February 2012

Cerita dari kota tak bersuara

oleh Janggut Bercabang

Kota kembali sepi. Jam sudah satu tiga puluh dua. Pasti saat ini bukan malam. Bila masih belum tidur. Tentu aku lagi rusuh dari Kuala Lumpur. Semua pun arif, Kuala Lumpur atau KL, meskipun tidaklah sebesar New York dan Paris, tapi, buat kita, ianya menderakan. Jadi, kalau aku lebih rusuh dari KL, bayangkanlah!

Bila belum tidur, aku layan fikir. Lepak dekat anjung ini menenangkan. Menatapi pemandangan dari tempat yang tinggi. Di hadapan terbentang alam. Dan bintik bintik cahaya itu adalah lampu di sepanjang jalan dan kota. Yang paling jauh itu tanah tinggi. Nampaknya kehidupan di sana amatlah genting. Sehiruk macam mana aku tidak pasti.

Itu kilang atau rumah pangsa? Yang lurus itu lebuhraya. Di seberangnya bukan Eiffel Tower. Itu pencawang. Tentu yang kian dekat dengan anjung itu rumah. Rumah kan ada bermacam macam rupa. Di atas bukit itu tangki air. Anjung berada tidak jauh dari situ.

Di dalam sinema, beginikah imajan yang jujur, yang ditangkap setajam mata? Lalu, disebut depth of fields. Jika bergerak baharulah dinamakan motion picture atau wayang gambar. Mendalami sinema memerlukan penumpuan – kita melihat dan mendengarnya juga. Revolusi teknologi perfileman makin diperhalusi. Lalu filem itu bagaikan setanding kehidupan itu sendiri meskipun belum sampai. Makin lama makin indah kalau ditatapi – itu pun kalau ada cerita – sebentar aku skeptikal.

Namun, lantaran di lebuh raya masih ada motokar dipandu – bukankah sinema itu seakan dunia yang sedang kita hadapi? Lantas, adalah terlalu rakus untuk aku berkata pasti. Dan kata yang paling cocok bagi setiap persoalan itu tentulah cuma barang kali.

Ya, sinema menggarap erti kehidupan itu apa? Maksudnya pula berbolak balik. Fiksi meminggirkan realiti. Filem itu pula diceritakan. Lalu, bila ia ditulis sebagai cerita untuk difilemkan, itu cuma lakonan. Namun, meskipun ia cuma lakonan, di dalam filem masih terkandung isi yang dirumus menjadi pengajaran hidup (falsafah). Jika tidak, lakonan tanpa falsafah itu samalah seperti angin. Enak, meskipun hanya sebentar menampar ke pipi. Kemudian tanpa diketahui ke mana ia pergi. Menggunakan angin sebagai metafora, barang kali, bahasaku dapat melunakkan bangsaku.

Saudara, detik kehidupan ini membikin aku terus berfikir. Tanpanya aku tidak punya bahan untuk melahirkan idea, meskipun sekadar memasang angan angan. Adakah aku bercakap kosong? Tidak saudara. Meskipun percakapan ini tidak memetik mana mana falsafah dari pujangga, kerana aku baharu belajar hendak menulis dari fikiranku sahaja. Layakkah nanti percakapanku ini mewakili sebenar benar resahnya dunia sekelilingku?

Aku bagaikan dibakar atau terbakar? Dunia ini miripnya syurga atau neraka? Pagi yang gelap ini sudah tidak dingin seperti semalam. Bisakah kemiskinan itu dibiarkan melarat. Saat itu apakah kehadiranku ditunggu? Aku bukanlah superman yang boleh terbang lagi. Aduh sayang. Yang bercakap ini tidak adil pedulikah dia pada rasa yang sengsara. Sedangkan dunianya yang terang pun dia masih penakut? Apakah ceritanya semua ini? Tolong, janganlah sebarkan virus seperti itu lagi. Di manakah sendi sendi pegangan hidup kita yang telah lumpuh? Lantaran terlalu berkias, percakapanku semakin tidak dimengerti. Ia bagaikan Tsai Ming Liang dengan sinema dan peribadinya.

No comments:

Post a Comment