Friday 17 February 2012

Cerita dari kota tak bersuara

oleh Janggut Bercabang

Kota kembali sepi. Jam sudah satu tiga puluh dua. Pasti saat ini bukan malam. Bila masih belum tidur. Tentu aku lagi rusuh dari Kuala Lumpur. Semua pun arif, Kuala Lumpur atau KL, meskipun tidaklah sebesar New York dan Paris, tapi, buat kita, ianya menderakan. Jadi, kalau aku lebih rusuh dari KL, bayangkanlah!

Bila belum tidur, aku layan fikir. Lepak dekat anjung ini menenangkan. Menatapi pemandangan dari tempat yang tinggi. Di hadapan terbentang alam. Dan bintik bintik cahaya itu adalah lampu di sepanjang jalan dan kota. Yang paling jauh itu tanah tinggi. Nampaknya kehidupan di sana amatlah genting. Sehiruk macam mana aku tidak pasti.

Itu kilang atau rumah pangsa? Yang lurus itu lebuhraya. Di seberangnya bukan Eiffel Tower. Itu pencawang. Tentu yang kian dekat dengan anjung itu rumah. Rumah kan ada bermacam macam rupa. Di atas bukit itu tangki air. Anjung berada tidak jauh dari situ.

Di dalam sinema, beginikah imajan yang jujur, yang ditangkap setajam mata? Lalu, disebut depth of fields. Jika bergerak baharulah dinamakan motion picture atau wayang gambar. Mendalami sinema memerlukan penumpuan – kita melihat dan mendengarnya juga. Revolusi teknologi perfileman makin diperhalusi. Lalu filem itu bagaikan setanding kehidupan itu sendiri meskipun belum sampai. Makin lama makin indah kalau ditatapi – itu pun kalau ada cerita – sebentar aku skeptikal.

Namun, lantaran di lebuh raya masih ada motokar dipandu – bukankah sinema itu seakan dunia yang sedang kita hadapi? Lantas, adalah terlalu rakus untuk aku berkata pasti. Dan kata yang paling cocok bagi setiap persoalan itu tentulah cuma barang kali.

Ya, sinema menggarap erti kehidupan itu apa? Maksudnya pula berbolak balik. Fiksi meminggirkan realiti. Filem itu pula diceritakan. Lalu, bila ia ditulis sebagai cerita untuk difilemkan, itu cuma lakonan. Namun, meskipun ia cuma lakonan, di dalam filem masih terkandung isi yang dirumus menjadi pengajaran hidup (falsafah). Jika tidak, lakonan tanpa falsafah itu samalah seperti angin. Enak, meskipun hanya sebentar menampar ke pipi. Kemudian tanpa diketahui ke mana ia pergi. Menggunakan angin sebagai metafora, barang kali, bahasaku dapat melunakkan bangsaku.

Saudara, detik kehidupan ini membikin aku terus berfikir. Tanpanya aku tidak punya bahan untuk melahirkan idea, meskipun sekadar memasang angan angan. Adakah aku bercakap kosong? Tidak saudara. Meskipun percakapan ini tidak memetik mana mana falsafah dari pujangga, kerana aku baharu belajar hendak menulis dari fikiranku sahaja. Layakkah nanti percakapanku ini mewakili sebenar benar resahnya dunia sekelilingku?

Aku bagaikan dibakar atau terbakar? Dunia ini miripnya syurga atau neraka? Pagi yang gelap ini sudah tidak dingin seperti semalam. Bisakah kemiskinan itu dibiarkan melarat. Saat itu apakah kehadiranku ditunggu? Aku bukanlah superman yang boleh terbang lagi. Aduh sayang. Yang bercakap ini tidak adil pedulikah dia pada rasa yang sengsara. Sedangkan dunianya yang terang pun dia masih penakut? Apakah ceritanya semua ini? Tolong, janganlah sebarkan virus seperti itu lagi. Di manakah sendi sendi pegangan hidup kita yang telah lumpuh? Lantaran terlalu berkias, percakapanku semakin tidak dimengerti. Ia bagaikan Tsai Ming Liang dengan sinema dan peribadinya.

Tuesday 7 February 2012

Antara Aqal dan Khayal

Otak adalah bendalir pepejal yang ada di dalam kepala setiap insan. Ianya tidak berfungsi dengan sendirinya sekiranya tiada Aqal yang memanduinya. Aqal pula sentiasa bersandarkan kepada logika.

Namun aqal semata tak mampu berkerja bersendirian. Aqal memerlukan pancaindera. Lima indera iaitu deria penglihatan, pendengaran, rasa, sentuh dan bau. Lantas para Aqalis mengatakan terdapat jua indera yang keenam. Itulah yang biasa disebut sixth sense. Sebegitulah egoisnya aqal yang menolak Khayal. Bagi aqal, semuanya mesti berpaksikan kepadanya dan Khayal itu hanyalah suatu tipuan yang tak bersandaran.

Sedangkan aqal tak menyedari bahawa segala geraknya kerana Khayal. Khayal adalah suatu kuasa yang amat hebat. Khayal membentuk suatu anganan yang tidak mengambil kira logika. Khayal sering dianggap oleh semua insan sebagai hanya dusta semata. Kerana tiadalah ia berpijak di bumi yang nyata.

Aqal yang menolak Khayal sebenarnya mati dan begitulah sebaliknya. Khalayan semata akan menyesatkan insan. Namun Aqal dan Khayal hendaklah saling bekerjasama dan saling berbantuan.

Kita pastinya sudah menyedari akan apakah itu aqal dan apakah fungsinya. Namun kita jarang diajarkan tentang khayal. Segala yang disebut khayal sering kita anggap sebagai barang yang tak berguna dan membuang masa.

Khayal kita tahu apa? Namun tiadalah kita tahu menggunakan Khayal dengan fungsinya yang sebaiknya. Menurut teori sains yang dibina oleh aqal; tak dapat dibuktikan sesuautu itu sekiranya ianya tiada diikat oleh ruang dan masa. Contohnya, manusia tak boleh terbang. Kerana ruang manusia diikat oleh graviti. Justeru aqal pun mencari solusi untuk manusia terbang sehingga terciptalah alat untuk membawa manusia terbang.

Pada masa aqal mencari solusi itu, aqal tak sedarpun akan khayal yang membantunya mencari solusi saintifikal yang dicarinya itu. Setelah solusi tersebut diperolehi dia terus ego dan yakin bahawasanya kualiti aqaliahnya yang memberikannnya solusi tersebut.

Akhirnya datang kepada aqal suatu kisah tentang seorang manusia yang naik ke langit ketujuh sehinggalah ke Sidratul Muntaha. dan perjalanan manusia itu hanyalah semalam waktu. Di sini aqal tercabar. Aqal yang logika mengatakan bahawa itu semua hanyalah Khayalan. Kerana bila ianya tidak mengikat ruang dan masa maka ianya adalah khayalan.

Bagi seorang Islam, dia tak akan pantas mengatakan bahawa itu adalah Khayalan meskipun dia tiada lagi mempunyai hujah aqal atau hujah logika untuk mengatakan bahawa situasi tersebut sebagai Bukan Khayalan. Imannya menolak itu sebagai khayalan sedangkan aqalnya masih cuba nak mencarikan jawapannya.  

Namun jika kita mengtahui akan wujudnya dua perkara yang berlawanan yang akan dihasilkan oleh otak maka kita pasti terima bahawa yang tidak diperakui oleh aqal itu adalah khayalan. Dan khayalan itu tak memerlukan kepada ikatan ruang dan masa.

Kita akhiri diskusi kali ini dengan meneliti kepada suatu dialog manusiawi:

Polan: Hai Ustaz, aku tak percaya pun kepada wujudnya Tuhan; sedang aku belum pernah melihat Tuhan. Bagaimana pantas untuk aku mempercayai Tuhan itu wujud.

Ustaz: Tak usah kau kaji jauh-jauh. Sedangkan matamu sendiripun belum pernah kau lihat.

Polan: Aku pernah lihat mataku.

Ustaz: Bila dan di mana?

Polan: Di sini aku melihatnya, di dalam khayalku. Aku melihat mataku di dalam khayalku.

Ustaz: Justeru ....khayalkan persoalanmu, pasti kau akan melihat Tuhanmu.

Polan: Bermakna..... Tuhan itu khayalan?

Ustaz: dan jika aqalmu mengatakan sedemikian, maka matamu yang kau lihat tadi jua adalah khayalan.

Polan: Mataku ada, aku dapat merasainya. Meskipun aku melihat mataku dalam kahayalanku.

Ustaz: Justeru demikian, Tuhan itu ada dan kau dapat merasai kewujudannya meskipun kau melihat Tuhan dalam Khayalanmu. 

orait

orait